Tuesday, January 19, 2010

Tidur ; Peluang untuk menjadikannya sebagai ibadah


Tidur adalah dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya, sekiranya seseorang itu tidur mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Bagi memperjelaskan kedudukan tidur dalam ISlam, eloklah jika kita dapat melihat gambaran sunnah Nabi saw dan adab-adab tidur seperti yang dikemukakan dalam kitab Syamail Muhammad saw .
Antara hadis yang menerangkan adab tidur Nabi saw adalah sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim bermaksud : "Jika kamu akan tidur maka berwudhu'lah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah do'a ini (seperti do'a yang dijelaskan selepas ini) dan jadikanlah bacaan do'a itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu)".
Dalam sebuah hadis diterangkan: "Al-Barra' bin Azib r.a. berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. jika akan tidur, mengiring ke sebelah kanan kemudian Baginda membaca: Maksudnya : "Ya Allah aku serahkan diriku kepadaMu dan menghadapkan mukaku kepadaMu dan menyerahkan semua urusanku kepadaMu, dan menyandarkan belakangku kepadaMu kerana mengharap dan takut kepadaMu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksaMu kecuali kembali kepadaMu. Aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utus". (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam riwayat yang berasingan yang turut diriwayatkan oelh Al-Bara’ bin ‘Azib ra., beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW bila berbaring di tempat tidurnya, baginda akan meletakkan telapak tangannya yang kanan di bawah pipinya yang kanan, lalu berdoa: Rabbi qinii ‘adzaabaka yawma tab’atsu ‘ibaadaka (Ya Tuhanku, peliharalah aku dari azab-Mu pada hari Kau bangkitkan seluruh hamba-Mu).” [HR. At-Tirmidzi]
Hudzaifah pula meriwayatkan: “Bila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, maka baginda berdoa: Allahumma bismika amuutu wa ahyaa (Ya Allah, dengan Asma-Mu aku mat dan aku hidup). Dan jika bangun dari tidurnya beliau berdoa: Alhamdu lillaahilladzii ahyaanaa ba’da maa amaatanaa wa ilayhin-nusyuur (Segala puji bagi Allah, yang telah menghidupkan daku kembali setelah mematikan daku, dan kepada-Nya tempat kembali).” [HR. At-Tirmidzi]
Menurut Ummul Mukminin Aisyah ra. Beliau berkata: “Bila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, baginda akan menghinmpunkan kedua telapak tangannya, lalu meniup keduanya dan dibaca pada keduanya surat Al-Ikhlash, Al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian disapunya seluruh badan yang dapat disapunya dengan kedua tangannya. Baginda memulakan dari kepalanya, mukanya dan bagian depan dari badannya. Beliau lakukan hal ini sebanyak tiga kali.” (HR. At-Tirmidzi , Lihat Kitab Syamail Muhammad cet Telaga Biru, hlm 167-168 )
Walaupun kita digalakkan mendahulukan posisi tidur di atas sisi sebelah kanan (rusuk kanan) dan berbantal dengan tangan kanan, namun tidaklah menjadi masalah apabila berubah posisinya ke sebelah sisi kiri. Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah: “Berbaringlah di atas rusuk sebelah kananmu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Arahan Nabi dalam hadis ini bukanlah merujuk kepada suatu yang wajib kerana dalam kesempatan yang lain Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga pernah mengubah kedudukan tidur baginda.Dalam hadis yang sahih ini, Rasulullah telah melakukan tidur secara terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis :
"Daripada 'Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Berkaitan dengan tidur terlungkup pula terdapat sebuah hadis yang merujuk kepada tegahan Nabi saw.Hadis ini bermaksud : Tidak dibenarkan terlungkup dengan posisi perut sebagai tumpuannya samada ketika tidur malam atau pun tidur siang. “Sesungguhnya (posisi tidur terlungkup) seperti itu adalah posisi tidur yang dimurkai Allah Azza Wa Jalla.” (HR. Abu Daud dengan sanad yang shohih)
Sebagai tambahan,satu huraian lanjut yang bermanfaat untuk diketahui oleh setiap muslim terdapat beberapa lagi adab yang dituntut amalannya sebelum tidur agar tidur itu menjadi ibadah di sisi Allah.Ini disebabkan tidur adalah aktiviti harian yang tidak khusus kepada anak-anak.Menurut Ab Aziz bin Fathi as-Sayyid Nada dalam Kitab Ensiklopedia Adab Islam, antara adab-adab tidur yang menjadi amalan Nabi s.a.w dan salafussoleh ialah :
1. Mengikhlaskan niat supaya tidur itu untuk memberi kekuatan untuk beramal selepas bangkit kelak.
2. Tidak tidur di tempat terbuka yang mudah dilihat manusia.
3. Elakkan tidur sewaktu kekenyangan.
4. Tidur dalam keadaan suci.
5. Tidur dalam keadaan berwudhuk.
6. Membaca surah dan ayat yang menjadi amalan Nabi s.a.w sebelum tidur.
7. Bercelak dengan celak.Ini berdasarkan hadis yang yang bermaksud : Henaklah kamu tidur dengan bercelak kerana ia dapat mencerahkan pandangan dan melebatkan bulu mata. ( riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim )
8. Mengerjakan solat sunat seperti witir sebelum tidur.Ini adalah berpandukan kepada hadis riwayat Ahmad yang bermaksud : Orang yang tidak tidur hingga dia mengerjakan solat witir adalah orang yang bertekad kuat.
9. Mengibaskan tempat pembaringan dengan hujung kain dan mengucapkan bismilLah seperti riwayat al-Tirmizi.
10. Bersiwak atau bersugi ketika bangun pada malam hari seperti yang diriwayatkan dari Ibn Adiy.
Sebagai kesimpulannya terdapat beberapa amalan yang wajar dilakukan bagi menjadikan tidur kita sebagai sumber kerehatan dan sebab mendaat ridhaNya.Manakala posisi tidur yang digalakkan berpandukan kepada hadis adalah di atas dada bahagian kanan.Kemudian perubahan yang berlaku dalam posisi selepas itu tidaklah menjadi masalah selagi tidak berkeadaan terlangkup.
Wallahu a’lam.

source : Ustaz Zahazan, FB

No comments:

Post a Comment